Mitsaqan Gholizo
Tanggal 25 Jun 2011 bersamaan 23 rejab 1432 H adalah hari bersejarah buat diriku dan pasanganku.
Hari di mana ijab dan qabul telah dimeterai untuk sebuah perjanjian berat (Misqan Gholizo) antara dua hati menjadi satu, dua jiwa mencari bahagia dan dua nyawa berharap kekal hingga ke syurga. Hari yang penuh barakah disaksi dan diraikan bersama sanak saudara serta sahabat handai. Alhamdulillah.
Pujian dihamburkan kepada kami sebagai pasangan mempelai pada hari itu beserta iringan doa agar rumahtangga yang dibina, utuh menongkah badai dan beroleh sakinah dibawah lembayung ilahi. Hanya kesyukuran yang mampu kami rafakkan pada hari bahagia tersebut.
Namun, tidak kurang juga yang ‘nakal’ bertanya bagaimana kami bertemu jodoh. Di sebelahku ramai yang tidak mengenali zaujahku dan begitu juga di pihak sahabat-sahabatnya.
Jodoh
Ini mengimbas kenangan 2 tahun lalu, saat diriku pada ketika itu sibuk mencari calon untuk dijadikan pujangga hati selama-lamanya (begitu juga dengan isteriku yang mencari-cari mujahid buat pelengkap kembara dirinya).
Al-maklum, ibuku sudah berkali-kali bertanya tentang jodohku. Itulah soalan yang ku dengari sebelum diriku meletakkan ganggang telefon selepas panggilan jarak jauh. Aduh ! Pening sungguh memikirkannya. Daku bersyukur mempunyai keluarga yang membenarkan diriku bernikah awal (di alam universiti) melihatkan kesusahan yang dihadapi oleh sahabat-sahabatku yang sudah mempunyai calon tetapi belum mendapatkan green light daripada keluarga mereka.
Namun, diriku pada ketika itu masih belum bersedia dan berhajat mahu menikmati alam bujang semaksimanya. Ditambah apabila melihat sahabat-sahabat yang gugur seorang demi seorang di dalam perjuangan setelah bernikah ketika masih belajar membuatkanku berfikir panjang untuk berbaitul muslim pada usia muda.
Menjelang usia 23 tahun, daku berijtihad diriku sudah perlu melalui fasa baru kehidupan mencari pasangan hidup. Dan pada ketika itulah, daku cuba merisik-risik beberapa kuntum bunga di taman sendiri namun hampa kerana ada lebah telah mencuri madunya (baca: hati). Ibuku juga cuba untuk memperkenalkanku kepada anak-anak perempuan teman-temannya namun tiada satu pun yang berjaya mengetuk pintu qalbuku.
Setelah perkelanaanku di Kepulauan Inggeris gagal mencari si Hawa yang didambakan, daku pulang ke Kepulauan Melayu pada musim panas dengan harapan menyerahkan urusan tersebut kepada pihak keluarga untuk diselesaikan.
Suratan atau Kebetulan
Kebiasaannya daku akan pulang menginap di rumah makcik sebelah ibu di Klang beberapa hari sebelum berangkat pulang ke Kedah pabila pulang bercuti musim panas. Keakrabanku dengan keluarga makcik di Klang sehingga mereka menganggap aku adalah anak angkat keluarga di sana.
Suatu hari, adik sedara perempuanku bertanya tentang jodohku dan daku katakan ‘jodoh seperti tidak berjumpa jalan masuk ke rumahku’. Dengan mata yang bersinar-sinar beserta raut wajah yang girang, adik sedaraku melompat seraya berkata dia mempunyai seorang sahabat perempuannya yang sangat baik, lembut dan comel yang telah lama diidamkan untuk dijadikan pasangan hidupku sejak kali pertama mereka bertemu.
Daku terdiam. Wah ! Hebat sekali wanita itu sehingga adik sedaraku ini begitu kagum dengannya. Setelah diceritakan perihal empunya diri, daku dengan ‘gatalnya’ mahu berkenalan melalui Friendster dan Facebook dahulu seperti yang disarankan adik sedaraku dengan niat bertaaruf secara maya tetapi hampa kerana tidak banyak yang boleh diketahui daripada profilenya (tetapi hatiku gembira kerana ini adalah contoh bahawa empunya diri pandai menjaga diri daripada dilihat atau dikenali lelaki yang bukan mahramnya).
Dengan beberapa panggilan telefon oleh adik sedaraku, si empunya diri bersetuju berkenalan dengan diriku dan adik sedaraku sebagai orang tengah. Walaubagaimanapun, seperti yang dianjurkan Rasulullah SAW, daku wajib bertaaruf (berkenalan) bersama orang di sana face to face sebelum perkara lain boleh dilanjutkan. Maka, kami bersetuju bertaaruf di rumah kakaknya di Putrajaya.

Taaruf yang janggal
Pertama kali bertaaruf di rumah manusia yang baru dikenali dan berhajat menjadikannya pasangan hidup bersama keluarganya menerbitkan rasa yang janggal di dalam diriku apatah lagi daku merasa seperti kembali ke zaman lampau di mana ayah dan ibu bahkan mungkin generasi sebelum ini mencari jodoh.
Ini bukan kebiasaan generasiku (kebiasaanya generasi sekarang berkenalan melalui internet mahupun teman sekelas atau sekuliah), bentak hatiku namun daku kawal perasaan ini kerana bagiku form atau wadah bukanlah isu pokok tetapi yang penting adalah substance atau niat kita.Jika niatnya baik, Insyallah segala-galanya baik.
Ketika di rumah kakaknya, perasaan segan itu menebal di dalam diri. Daku tidak mampu mengangkat muka bercakap dengan bakal zaujahku dan hanya jelingan yang mampu dilontarkan. Begitu juga zaujahku ketika itu. Mujurlah adik sedaraku, bakal kakak iparku dan suaminya yang mencorakkan suasana pada malam itu. Pada malam itu, mungkin daku tidak mampu menyelami karekter isteriku tetapi memadai bagiku mengetahui keadaan fizikalnya yang sempurna dan memahami serba sedikit latar belakang empunya diri dan keluarganya seperti mana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:
“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia. ” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Sebelum berangkat pulang, kakak iparku menjemputku ke Kelantan bertemu umi dan abah sambil disambut senyuman manis oleh mereka sekeluarga. Adakah itu tanda aku lulus ujian saringan ? Daku tidak mengerti tetapi kata-kata itu terngiang-ngiang di dalam cohclear telingaku beberapa hari.
Istikarah yang mendamaikan
Kemudian, kesibukan melanda diriku. Ke sana ke mari mengikuti program pada musim panas bersama mahasiswa dalam dan luar negara sehingga kadang kala daku terlupa bahawa daku perlu memberi jawapan kepastian buat diri yang sedang menunggu dengan penuh harapan di sana.
Dua minggu daku mencari kekuatan dan persefahaman antara diriku dan isteriku sebelum memutuskan untuk serius. Sungguh aneh. Tidak sampai sebulan berkenalan, sudah mahu memutuskan samada masing-masing mahu hidup semati melalui ikatan yang halal atau sebaliknya. Sudah pasti untuk membuat keputusan ini adalah sesuatu yang berat.
Daku mengutip bermacam-macam pendapat dan cadangan daripada golongan asatizah mahupun sahabat handai yang arif di dalam hal ehwal Baitul Muslim. Akhirnya, setelah 2 minggu beristikarah, daku memutuskan memilih dirinya yang kurangku kenali sebagai pelengkap hidupku. Alhamdulillah, dirinya bersetuju. Aku hanya bertawakal untuk hal-hal yang lain yang tidak sempat ku hadamkan sepanjang perkenalan singkat itu.
Ada yang bertanya, apakah tanda-tanda yang daku perolehi ketika beristikarah bersama Rabb. Mimpi atau ternampak wajahnya ketika sujud atau bagaimana ?
Hakikatnya, daku tidak mengalami semua itu tetapi seperti yang daku baca di sebuah laman web, antara tanda-tanda pilihan kita itu adalah pilihan Allah untuk diri kita adalah hati menjadi tenang setelah membuat keputusan dan segalanya berjalan lancar. Ini adalah contoh yang diberi oleh al-fadhil Ustaz Haron Din dan itulah perasaan yang daku perolehi apabila memutuskan keputusan yang mustahak bagi diriku dan dirinya serta keluarga kami.
Segalanya berjalan lancar terutama ketika masing-masing memperkenalkan diri masing-masing kepada bakal keluarga mertua. Pertemuan singkat antara daku dan bakal keluarga mertua di Kelantan tanpa bakal isteriku sudah cukup bagi kami untuk mendapat restu keluarga meneruskan hubungan ini. Alhamdulillah. Hanya kalimah indah itu yang dapat menggambar kesenangan hati pada ketika itu.
Cintailah kekasihmu sekedarnya saja, siapa tahu nanti akan jadi musuhmu. Dan bencilah musuhmu sekedarnya saja, siapa tahu nanti akan jadi kekasihmu.
~ Ali bin Abi Thalib
Penantian yang Mencemaskan
Bersambung….



